Rabu, 28 Februari 2018
Penduduk kian resah
MERSING 27 Feb. - Orang ramai melahirkan kebimbangan dengan kemunculan beberapa ekor buaya yang dapat dilihat di kawasan Sungai Pengkalan Batu berhampiran bandar Mersing sejak kebelakangan ini.
Menurut mereka, reptilia tersebut berjumlah tiga ekor dengan panjang melebihi tiga meter itu sering dilihat di sekitar kawasan tersebut.
Seorang penduduk, Ahmad Faris, 24, berkata, buaya-buaya tersebut semakin kerap dilihat timbul dan berada di tebing sungai tersebut sejak awal tahun ini.
Dia mendakwa, buaya itu pertama kali dilihat pada awal Januari lalu apabila timbul di bawah sebuah jeti tempat bot nelayan berlabuh di Kampung Pengkalan Batu.
“Ketika itu, buaya tersebut timbul di bawah jeti hampir setiap hari selama tujuh hari berturut-turut sebelum menghilangkan diri. Namun kemudian buaya tersebut muncul semula sejak tiga hari lalu.
“Kali ini tiga ekor buaya dengan saiz yang sama mula timbul di permukaan sungai dan sering dilihat berlegar-legar di kawasan sekitar. Seekor daripadanya sering naik ke tebing sungai setiap kali air sungai surut,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurutnya, sehingga hari ini buaya tersebut masih dapat dilihat berada di tebing sungai setiap kali air surut tanpa menghiraukan penduduk berdekatan melihatnya dari jarak dekat sebelum turun kembali ke dalam sungai apabila air pasang.
Katanya, walaupun buaya itu sudah biasa dilihat oleh kaki pancing atau mereka yang menjalankan aktiviti di sungai tersebut tetapi kali ini reptilia itu lebih kerap dan 'berani'.
“Meskipun belum pernah berlaku kejadian yang tidak diingini membabitkan buaya tersebut di Sungai Mersing ini tetapi situasi itu tetap membimbangkan penduduk setempat.
“Ini kerana kini buaya-buaya itu semakin kerap menampakkan diri di permukaan sungai sekitar kawasan penempatan,” katanya yang sering datang ke sungai itu untuk memancing.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan